Ahad, April 17, 2011

Hari Keluarga Dan Sukaneka


Pihak Persatuan telah menganjurkan Hari Keluarga Dan Sukaneka PPIHB6 pada 10 April 2011 bertempat di Pusat Komuniti PPIHB6. Program bermula seawal jam 7:30 pagi bagi acara senamrobik. Seterusnya bacaan doa Selamat telah disampaikan oleh Ustaz Yusof yang didatangkan khas dari Patani. Program berakhir sekitar jam 3:00 petang.



Pelbagai acara sukaneka yang turut dipertandingkan, diantaranya adalah:
  • Melukis Dan Mewarna
  • Monkey Race
  • Makan Buah Epal Tergantung
  • Makan Roti Canai Terpantas
  • Anyam Ketupat
  • Bakul Kepala
  • Gelecek Bola Dalam Kain Berpasangan
  • Bowling Buah Kelapa
  • Tarik Tali
Disamping itu pihak persatuan juga telah menyediakan tapak gerai kepada peniaga-peniaga untuk mereka memperagakan produk masing-masing. Beberapa hadiah cabutan bertuah juga turut diadakan semasa sukaneka diadakan. Hadiah utama bagi cabutan bertuah berkenaan telah dimenangi oleh En. Amran Bin Mat yang telah disampaikan oleh tuan Pengerusi PPIHB6 En. Zainal Azaman. Tahniah diucapkan kepada beliau.

Program sukaneka yang dianjurkan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk PPIHB6. InsyaAllah program ini akan dianjurkan sebagai acara tahunan persatuan. Pihak urusetia pertandingan mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemenang pertandingan. Pihak persatuan juga mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk yang terlibat serta sudi melapangkan masa sepanjang sukaneka tersebut berlansung.

Ahad, Februari 20, 2011

Sambutan Maulidur Rasul 2011M / 1432H

Pihak PPIHB6 telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul pada 15 Februari 2011, bertempat di Pusat Komuniti PPIHB6. Tema Sambutan Maulidur Rasul kali ini adalah 'Kepimpinan Rasulullah S.A.W'.

Seramai kira-kira 100 orang penduduk PPIHB6 yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak telah menyertai perarakan Maulidur Rasul 1432H/2011M yang telah dianjurkan mengelilingi perumahan PPIHB6 bermula seawal 8:00 pagi dan berakhir sekitar jam 9:30 pagi. Perarakan diserikan dengan laungan selawat keatas Nabi Muhammmah S.A.W yang telah dipimpin oleh Ustaz Faizal.

Seterusnya penduduk telah dihidangkan dengan ceramah bertajuk 'Kepimpinan Rasulullah S.A.W' yang telah disampaikan oleh Ustaz Aidil. Kepetahan yang diselangi jenaka penceramah telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk PPIHB6. Ceramah pada pagi tersebut juga turut dihiburkan oleh Kumpulan Nasyid daripada anak-anak penduduk PPIHB6 sendiri. Ceramah ini banyak menambahkan lagi penghayatan kita terhadap kepimpinan Rasulullah S.A.W dan merapatkan lagi ukhuwah dikalangan penduduk PPIHB6. Jamuan ringkas telah disediakan oleh pihak persatuan bagi mengakhiri sambutan tersebut sekitar jam 12:00 tengahari.

Semoga program ini dapat dianjurkan lagi pada tahun hadapan dengan lebih banyak penyertaan daripada penduduk. Pihak persatuan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh penduduk PPIHB6 yang telah mengambil bahagian. Semoga penyertaan kita ini mendapat rahmat dan keredhaan daripada Allah S.W.T dan memupuk semangat cintakan Rasulullah S.A.W di dalam diri setiap penduduk.

Khamis, November 25, 2010

PROGRAM IBADAH KORBAN (2010M/1431H)


Pihak Persatuan telah mengadakan sambutan aktiviti tahunan Program Ibadah Korban bagi PPIHB6 pada 17 November 2010. Kali ini, sebanyak 2 ekor lembu telah dikorbankan pada hari program dijalankan. Pada tahun ini, sambutan dari seluruh warga PPIHB6 amat memberangsangkan. Semua yang hadir turut berkerjasama menjalankan tugas yang diberikan sebaik mungkin bermula dari sembelihan hingga ke urusan pengagihan daging korban. Program bermula seawal jam 10:00 pagi iaitu selepas solat sunat Aidil Adha sehingga jam 2:00 petang.

Tugas melapah, memotong daging, tulang dan sebagainya diberikan mengikut kumpulan masing-masing. Tetamu yang hadir disajikan pada waktu tengahari dengan sup tulang, kari danging, masak kicap daging dan nasi beriani.
Sebanyak 200 bungkusan yang telah dihasilkan dari keseluruhan daging korban itu telah diagihkan kepada semua yang hadir dan fakir miskin dan anak-anak yatim di kawasan sekitar.

Insyallah program ibadah korban ini akan diteruskan lagi pada tahun-tahun yang akan datang. Semoga dengan keikhlasan dalam melakukan ibadah korban ini akan mendapat ganjaran dari Allah swt. dan semoga amalan mulia ini diterimaNya, insyaAllah.

Ahad, November 07, 2010

PROGRAM IBADAH KORBAN (2010M/1431H)


Assalamualaikum w.b.t.
Pihak persatuan (PPIHB6) menjemput tuan/puan menyertai Program Ibadah Korban bagi tahun 2010M/1431H. Matlamat program ini adalah bagi memuliakan dan meraikan Aidil Adha disamping mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhwah dikalangan warga PPIHB6.
Kepada seluruh penduduk PPIHB6 yang tidak dapat untuk meyertai program ini, adalah dijemput untuk turut serta dalam aktiviti menyembelih dan melapah lembu korban serta mendapatkan agihan daging korban pada hari tersebut. Butiran program tersebut adalah seperti berikut :
  • Tarikh                  : 17 November 2010M / 10 Zulhijjah 1431H (Rabu)
  • Masa                    : 10:00 pagi hingga 12.00 tengahari
  • Tempat                : Pusat Komuniti PPIHB6 No 12, Jalan 6/32A Bandar Tasik Puteri
  • Yuran Penyertaan   : Untuk satu bahagian lembu berharga RM 360.00 
Untuk maklumat lanjut berkenaan program ini, sila hubungi Zainal Azaman Bin Sahalan (Pengerusi) di talian 012-3585041.

Selasa, Oktober 05, 2010

SAMBUTAN HARIRAYA AIDILFITRI 2010

Pihak Persatuan telah mengadakan sambutan Hariraya Aidilfitri pada 2hb.Oktober 2010 bertempat di Pusat Komuniti PPIHB6. Majlis bermula pada jam 8:00 malam dengan kehadiran penduduk disertai dengan kaum keluarga masing-masing. Anggaran kehadiran adalah seramai 200 orang. Majlis didahului oleh kata-kata aluan dari  Tuan Pengerusi En. Zainal Azaman dan bacaan doa selamat pula telah disampaikan oleh Tuan Haji Tarmizi. Seterusnya para hadirin dijemput menikmati juadah yang telah disediakan oleh pihak persatuan. Para tetamu juga telah dihiburkan dengan persembahan 'live band' pimpinan saudara Zahari Saad yang mendendangkan lagu-lagu hariraya dan tradisional melayu.

Majlis juga turut diselangi dengan persembahan bungapi yang telah disumbangkan oleh pelbagai pihak. Seramai 30 orang tetamu bertuah pada malam tersebut telah menerima pelbagai jenis 'hamper' hasil sumbangan pihak korporat dan individu dalam acara cabutan bertuah. Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun kebawah pula telah menerima 'duit raya' yang telah disumbangkan dan disampaikan sendiri oleh Tuan Pengerusi En. Zainal Azaman dan isteri beliau Pn Noraida.

Majlis berakhir sekitar jam 10:30 malam berikutan hujan lebat yang turun. Pihak persatuan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa majlis sambutan hariraya, kaum ibu dan bapa serta semua penduduk yang terlibat dalam menjayakan majlis dan bertungkus-lumus menyediakan persiapan sejak seawal pagi.